9.11.10

Demi Ukiran Prasasti atau Masyarakat

Bismillahirahirahmanirrahim,
Rabbish rahli sadri wayassirli amri wahlul ukdatan millisahi yaf kahu kaulihin.

-----------------------------------------------------------------------------------

Kini, aku sedar selama ini, aku memang mementingkan diri sendiri. Aku mengejar cita-cita dan impianku, sekadar untuk memuaskan hati sendiri.

Aku melihat sasaranku, untuk menjadi antara wartawan tersohor (kalau ada peluang dan rezeki, Editor) akhbar itu. Aku bekerja keras memenangi kepercayaan orang-orang di sana. Aku memperbaiki penulisanku supaya mudah diterima mereka dan masyarakat kelilingku. Mataku tidak pernah terlepas dari sasaran itu.

Namun, aku mulai alpa dalam usaha mengejar itu.

Aku alpa tanggungjawabku sebagai ahli masyarakat Melayu, ahli masyarakat sekular, orang terpelajar yang berdaya melakukan sesuatu, dan terutama sekali, aku alpa sebagai hambaNya.

Dan kerana itu, aku tertunduk malu atas kerakusan jiwa ini.

Dewasa ini, aku sering merenungkan:

> Apakah yang dapat masyarakat raih dari penulisanku?
> Apakah kehidupan mereka akan berubah kerana penulisanku?
> Bolehkah mereka menjana apa-apa daripada coretan di atas kertas renyuk itu?
> Apakah manfaat penulisan dan karya-karyaku?

Sejak aku mewawancara presiden salah satu persatuan bahasa Melayu seberang Tambak, aku perhatikan sendiri segala usaha-usaha yang mereka laksanakan. Aku menjadi malu dengan diriku sendiri.

Antara lain, mereka sepasukan menganjurkan pesta buku bersejarah, membantu bina perpustakaan di dalam rumah-rumah anak yatim, sekaligus memartabatkan penulisan dan kesusasteraan.

Aku? Si penulis sambilan? Si 'pencinta' bahasa? Si 'pejuang' budaya?

Aku. Hanya menulis dan menulis secara membabi buta, tanpa memikirkan masyarakat langsung. Yang sering berlegar di mindaku? Hanya untuk melangsaikan tugasan-tugasan yang bertali-arus.

Alhamdulillah, aku bersyukur diberi kepercayaan mengendalikan pelbagai jenis penulisan berita - baik dari segi berita biasa, berita dunia hiburan, komentar, dan sebagainya - dan aku rasa ia satu penghormatan bagi si wartawan pelatih ini.

Namun, aku telah membelakangkan masyarakatku sendiri. Masyarakat yang kian genting keadaannya, berselirat dengan masalah, kehampaan, kekecewaan dan bergelumang darah lawan politik.

Aku malu, ya Allah. Aku malu! Aku malu kerana tidak memikirkan masyarakatku! Aku terlalu mementingkan diri sendiri!

Tersangat malu, sehingga hatiku berdetik. Hatiku memujukku dengan belaian lembut mengasyikkan sambil berbisik: "Tukarlah aliranmu, Ain. Bantulah masyarakatmu yang semakin hari, semakin nazak masalah. Ikutlah bicara hatimu ini, Ain."

Betul kata presiden itu. Penulisan, bidang kewartawanan sahaja tidak dapat memanfaatkan masyarakat. Lakukan sesuatu selain menulis. Tapi apa yang boleh aku lakukan? Ia antara nak dengan tak nak sahaja. Di situ, aku keliru dengan niat dan perjuanganku yang asal.

Aku sedar, yang aku seperti ramai susuk tubuh dan tokoh-tokoh Melayu yang ada sekarang. Mengejar nama yang diabadikan dalam ukiran prasasti. Aku malu untuk berkata, yang aku sebenarnya ingin namaku diukir dalam prasasti. Aku sama sahaja. Aku malu, ya Allah.

Namun, aku tahu salah satu cabang yang boleh aku terjah dengan niat membantu dengan betul-betul ikhlasnya, adalah dengan mendengar. Aku selalu ikhlas membantu mendengar masalah orang, meniupkan semangat kepada mereka, memperkukuh kepercayaan mereka dan sebagainya.

Mungkin, di situlah aku boleh menyumbang semula kepada masyarakat yang telah aku tinggalkan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Bagaimanakah harus aku menebus dosaku kepada masyarakat dan Allah? Ya Allah, ampunilah aku yang hamis berlingkaran dalam dosa, dosaku kepada masyarakat dan Tuhan sendiri. Apa yang boleh aku lakukan, selain merintih dan menulis?

Wallahua'lam.
Terima kasih anda yang sudi membaca bingkisan hati berdosa ini.

No comments:

Post a Comment